Kamis, 18 Juni 2015

Warisan budaya Korea

Warisan budaya Korea


Remaja berbangsa asing: Baru-baru ini rakan saya berminat untuk mengetahui tentang Korea. Tetapi saya kurang pasti apa yang perlu saya beritahu terlebih dahulu. Apa yang patut saya beritahu terlebih dahulu?
Remaja Korea : Oh begitu. Kalau begitu saya akan beritahu kamu warisan kebudayaan Korea yang sudah dikenali di dunia. Cubalah gunakan maklumat ini untuk diberitahu kepada rakan kamu.
Dolmen
Dolmen ialah warisan yang menunjukkan kebudayaan megalitik pada zaman prasejarah yang banyak dijumpai serata dunia. Seperti Stonehenge di Britain dan batu Moai di Pulau Easter, Chile, di Korea juga terdapat dolmen tetapi ianya berbeza dengan dolmen di tempat lain kerana terdapat beratus-ratus dolmen dalam satu kawasan yang sempit. Peninggalan yang dijumpai di sini digunakan sebagai bahan untuk mengkaji masyarakat dan budaya zaman prasejarah di Korea. Terutamanya kawasan arkeologi di Hwasun, Gochang, Ganghwado diiktiraf mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan disenaraikan dalam senarai warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 2000.
Jikji
Jikjisimcheyojol ataupun ringkasannya Jikji adalah buku paling lama yang ditulis tentang doktrin Buddha dan dicetak menggunakan alat cetak logam mudah-alih. Jikji telah ditulis 70 tahun terlebih dahulu berbanding Kitab 42 Baris(tahun 1455) oleh Gutenberg di Jerman.Di dalam buku ini tertulis bahawa anak murid penulis buku itu, Baegun Hwasang telah mencetaknya menggunakan alat cetak logam mudah-alih di kuil Heungdoeksa, Chongju pada Julai tahun 1377. Terdapat dua jilid tetapi hanya satu jilid sahaja yang dijumpai dan ianya kini disimpan di Perpustakaan Awam Perancis. Pada September tahun 2001, ia diiktiraf sebagai Memori Dunia. 
Kimchi
Sepertimana orang Jerman gemar makan sosej, orang India gemar makan kari dan orang Itali gemar makan pizza, orang Korea juga gemar makan kimchi. Di mana ada orang Korea, di situ mesti ada kimchi. Kimchi adalah sayuran seperti kobis cina atau timun yang diperap bersama garam, bawang putih, daun bawang, halia dan sebagainya. Kimchi boleh dimakan begitu saja atau dijadikan bahan dalam pelbagai masakan. Pada 5 Julai 2001, kimchi telah mendapat kelulusan antarabangsa dari Codex Alimentarius Commission(Codex). Baru-baru ini majalah kesihatan Amerika Syarikat ‘Health Magazine’ keluaran bulan Mac telah mengiktiraf kimchi sebagai antara 5 makanan kesihatan terbaik di dunia. Majalah itu juga memperkenalkan kimchi sebagai makanan yang mempunyai pelbagai jenis vitamin seperti A, B, C dan sebagainya serta membantu dalam sistem pencernaan dan juga kaya dengan bakteria yang baik untuk kesihatan badan.
Ginseng Korea
Di antara ginseng yang dijual di seluruh dunia ialah ginseng Korea yang dikenali sebagai goryeo ginseng, bersempena nama kerajaan lama Korea iaitu Goryeo. Ginseng goryeo senang tumbuh di Korea dan mempunyai bau dan rasa yang enak. Rakyat Korea mengamalkan makan ginseng sebagai ubat untuk mengekalkan kesihatan sejak dari dahulu lagi. Berdasarkan keputusan kajian keberkesanan ginseng yang dijalankan oleh Persatuan Doktor Kanada, kumpulan manusia yang mengamalkan minum ekstrak ginseng, menunjukkan tahap pemulihan dari demam selsema lebih cepat. Negara-negara Eropah pula mengiktiraf ginseng goryeo sebagai tonik dan disenaraikan dalam farmakopia. FDA Amerika Syarikat menglasifikasikan ginseng sebagai GRAS(Generally Recognized as Safety)[secara umumnya diiktiraf sebagai selamat].
Ondol,Sistem pemanasan lantai Korea
Ondol ialah sistem pemanasan lantai yang diwarisi dari zaman kerajaan koGuryeo. Sistem ondol ialah sistem di mana lantai bilik dipanaskan berbeza dengan sistem pemanasan barat di mana udara yang dipanaskan. Rakyat Korea di zaman lampau telah mencipta cara pemanasan di mana satu batu besar diletakkan di bawah lantai bilik dan ianya kemudian dipanaskan. Asap yang terhasil daripada api disebarkan ke luar melalui bawah batu. Hari ini rumah dan pangsapuri moden menggunakan sistem gas atau pemanas elektrik yang menyalurkan air yang dipanaskan melalui paip di bawah lantai.
Hanbok
Sepertimana baju kilt di Scotland, poncho di Peru, sari di India, hanbok ialah baju tradisional Korea. Bentuk baju hanbok diwarisi dari zaman kerajaan kuno, zaman pertengahan dan pada zaman moden bentuk hanbok telah ditetapkan. Hanbok berubah mengikut musim dan jantina si pemakainya. Rakyat Korea moden gemar memakai hanbok di hari istimewa seperti hari perkahwinan dan hari perayaan dan kadang-kala memakai hanbok yang telah diubah suai dengan gaya moden. Pereka fesyen Korea berterusan memperkenalkan pakaian yang bertemakan hanbok di medan fesyen antarabangsa seperti pretaporter di Perancis.
Geobukseon
Geobukseon ialah kapal perang yang dibina oleh seorang saintis di bawah arahan jeneral perang Lee Sun Sin yang paling dihormati pada zaman Joseon. Bahagian atas kapal dibina berbentuk bulat dan ditutupi dengan kayu yang kemudiannya diletakkan pula besi tajam supaya musuh tidak dapat menakluki kapal itu. Bentuknya menyerupai penyu lalu diberi nama Geobukseon(kapal penyu). Jeneral Lee Sun Sin mencatatkan kemenangan dalam semua 23 peperangan. Jeneral Lee Sun Sin kadang-kala dibandingkan dengan wira British, laksamana Nelson yang menang dalam peperangan menentang tentera Sepanyol-Perancis dalam pertempuran laut Talfalgur. Kedua-duanya berjuang demi tanah air dan berjaya dalam pertempuran di laut dan sekaligus menyelamatkan rakyat daripada taklukan bangsa asing. Geobukseon diiktiraf nilainya sebagai kapal perang yang hebat dan replikanya dipamerkan di muzium perang Korea, Amerika Syarikat, Britian, China, Jerman dan sebagainya lagi.
Hangeul
Pada abad ke-15 di zaman Dinasti Joseon, Maharaja Sejong telah mencipta huruf kuno Korea yang bernama Hangeul demi rakyat baginda. Pada tahun 1446, Hangeul yang dicipta terdiri daripada 14 huruf konsonen dan 10 huruf vowel dan dikenali dengan nama ‘hunminjeongeum’ yang bermaksud ‘bunyi yang tepat untuk mengajar rakyat jelata’. Maharaja Sejong juga telah menerbitkan buku yang menceritakan prinsip penciptaan Hangeul dan mengajar cara-cara menulis Hangeul. Buku ini disenaraikan dalam senarai warisan dunia UNESCO dan UNESCO telah menamakan ‘Piala Maharaja Sejong’ yang diberikan kepada mereka yang berusaha menghapuskan buta huruf setiap tahun.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar